Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional berjaya melepasi ujian pertama apabila usul Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz pada 6 November lalu diluluskan menerusi undian suara ramai.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Zafrul itu disokong oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan termasuk Barisan Nasional yang sebelum ini menyatakan sokongan bersyarat.

Parti pembangkang termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri membuat kenyataan semalam, menyeru supaya semua ahli Parlimen untuk menolak Belanjawan 2021 yang disifatkannya sebagai bermatlamatkan politik semata-mata dan bukannya untuk kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, sokongan BN berubah apabila Kementerian Kewangan mengumumkan beberapa peruntukan tambahan termasuk membenarkan semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas untuk mengeluarkan wang daripada Akaun 1 seperti yang dituntut oleh banyak pihak.

Ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 8 juta pencarum KWSP.

Cubaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang meminta supaya undi belah bahagi dilakukan gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen.

Syor tersebut hanya mendapat sokongan 13 ahli Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat seterusnya menentukan keputusan berdasarkan undian suara ramai.

Malah apa yang mengejutkan apabila cadangan undian belah bahagi itu tidak mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen PKR dan DAP.

Meskipun berjaya pada hari ini, “azab” parti pemerintah masih belum selesai kerana usul tersebut masih perlu dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan sebelum ia sekali lagi diundi sebelum boleh diluluskan.

Berikut adalah intipati penggulungan Belanjawan 2021:-

  • Program i-Sinar diperluas kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan dengan kira-kira 8 juta ahli dijangka mendapat manfaat ini melibatkan peruntukan sebanyak RM70 bilion.
  • Jumlah pengeluaran maksimum kini dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM9,000 yang diumumkan pada 6 November lalu.
  • Bantuan ‘one-off’ sebanyak RM300 akan diperluas kepada semua petugas barisan hadapan termasuk polis dan tentera.
  • Dana tambahan sebanyak RM50 untuk memerangi COVID-19 akan disalur kepada Sabah Disember ini.
  • Program eBelia ditingkatkan kepada RM100 seorang dan diperluas kepada 1.1 juta mahasiswa.

-MalaysiaGazette