Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Majoriti pembangkang yang menyokong Belanjawan 2021 dikesali oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kerajaan yang didiri melalui rasuah dan sogokan pada ahli Parlimen dan kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikitpun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.

“Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam media sosialnya petang ini.

Beliau salah seorang daripada 13 pembangkang bangun mahu undi belah bahagi mengenai belanjawan tetapi majoriti pembangkang lain termasuk DAP dan PKR tidak menyertainya.

“Apabila cuma 13 ahli Parlimen bukan Kerajaan bangun untuk tolak belanjawan 2021, undi belah bahagi tidak dapat dilakukan kerana ia memerlukan 15 ahli.

“Apabila ini berlaku, ia bermakna bahawa kerajaan yang dipilih rakyat boleh dijatuhkan di tengah jalan dan diganti dengan kerajaan pintu belakang. Pilihanraya tidak bermakna lagi.

“Bagi saya dan semua ahli Parti Pejuang, serta beberapa ahli Parlimen yang lain, kami tetap berpegang kepada janji kami untuk menolak belanjawan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

“Apabila kami mengambil pendirian, kami tidak berganjak atas dasar amanah dan tanggungjawab kami sebagai wakil kepada rakyat.

“Kami tetap dengan pendirian menentang apa sahaja bentuk rasuah dan kami berharap yang rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah. Hanya dengan penolakan rasuah sahaja yang kehancuran negara dapat dielak,” kata Mahathir.- MalaysiaGazette

4 Komen

  1. kalau dah mereka tolak belanjawan, apa lagi yg boleh diharapkan oleh rakyat yang menyokong mereka pada PRU14, sudahlah manifesto satu pun tak tertunai.

Comments are closed.