Rapid KL memaklumkan penutupan berjadual stesen MRT pada Sabtu dan Ahad ini untuk memberi laluan kepada kerja migrasi sistem MRT laluan Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tiga Stesen Transit Rel Massa (MRT) laluan Kajang akan ditutup sementara selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini.

Ia membabitkan Stesen MRT Kwasa Damansara (Kawasan Parkir Ditutup), MRT Kampung Selamat dan MRT Sungai Buloh (Kawasan Parkir Dibuka).

Menurut kenyataan Rapid KL, penutupan sementara itu adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja migrasi sistem MRT Laluan Putrajaya yang dahulunya dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh Serdang Putrajaya (SSP).

Bagi mengelak kesulitan pengguna akibat penutupan itu, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Kwasa Sentral dan Sungai Buloh setiap 15 minit, katanya.

Sepanjang penutupan itu, Rapid KL berkata, perkhidmatan tren akan berakhir di Stesen MRT Kwasa Sentral.

Manakala Perkhidmatan bas perantara MRT percuma akan disediakan di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh dengan frekuensi setiap 15 minit.

Untuk maklumat lanjut orang ramai atau pengguna Rapid KL boleh merujuk di talian 03-78852585 atau laman rasmi www.myrapid.com.my atau Facebook RapidKL. – MalaysiaGazette