KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah apabila buat julung kalinya tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik Asia berdasarkan Laporan QS Asia University Rankings 2021.

Kejayaan melonjak kepada kedudukan 195 berbanding 243 pada penarafan tahun lalu itu sekali gus disifatkan sebagai pencapaian terbaik UMT sepanjang penubuhannya.

Lebih membanggakan, universiti itu turut menunjukkan peningkatan ketara bagi 10 petunjuk daripada keseluruhan 11 yang dinilai antaranya reputasi, penyelidikan dan pengantarabangsaan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, kedudukan 195 Asia itu seiring dengan sasaran kedudukan 200 Asia seperti yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022 (PSUMT) bagi tahun ini.

Katanya, pencapaian itu merupakan pengiktirafan kepada hasil usaha warga UMT yang menunjukkan mutu budaya kerja tinggi di samping komited dalam memastikan strategi PSUMT dapat dilaksanakan dengan baik.

“Pemerkasaan berterusan terhadap penyelidikan, pengajaran, pengantarabangsaan dan citra universiti akan terus menjadi tumpuan utama UMT bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan penarafan, tetapi juga pemegang-pemegang taruh lain seperti yang terkandung dalam pelan strategik universiti.

“UMT percaya perlu ada keseimbangan di antara pencapaian dalam penarafan antarabangsa dan juga keperluan memenuhi matlamat utama penubuhan sesebuah universiti dalam penyebaran dan penciptaan ilmu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Aieni, perkembangan itu secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa di samping meningkatkan kerjasama dengan penyelidik luar negara dan memperluaskan jaringan kerjasama dengan industri selain menonjolkan citra UMT di peta dunia. –  MalaysiaGazette