Ab. Kadir Yaacob

KOTA BHARU – Daripada menaikkan gaji dan elaun Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Exco, lebih baik kerajaan Pas Kelantan mengkaji semula skim perjawatan serta tangga gaji guru Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Perkara itu dinyatakan Badan Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa (Putra) Kelantan, yang menyatakan, kebajikan rakyat sepatutnya menjadi keutamaan, bukan memewahkan pentadbir kerajaan negeri setiap masa.

Ketua Penerangannya, Ab. Kadir Yaacob berkata, gaji dan elaun guru YIK perlu dinaikkan sesuai dengan kelulusan mereka dari universiti dalam mahupun luar negara, selain bergaji tetap.

“Bayangkan, kerajaan Pas telah membeli kereta Mercedes untuk Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Exco, selain bonus RM50,000 dan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) naik RM3,000 hingga RM5,000.

“Rakyat dapat apa? Dibebankan dengan cukai urusan tanah dan cukai pintu yang naik mendadak sampai 200 peratus, manakala pemimpin pula dapat naik gaji dan elaun,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ab. Kadir, Putra Kelantan menggesa kerajaan Pas turut menaikkan gaji dan elaun imam, bilal, guru agama dan tenaga pengajar kelolaan YIK.

Beliau mencadangkan, gaji imam dinaikkan kepada RM1,500 sebulan, Bilal (RM1,000), guru agama (RM1,200) dan kenaikan RM500 sebulan kepada guru YIK.

“Semua imam juga diberikan sebuah kereta bernilai RM50,000 bagi memudahkan pergerakannya untuk urusan nikah kahwin dan pelbagai tugasan luar.

“Kalau Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Exco boleh beli dan pakai kereta Mercedes bernilai ratusan ribu, tidak ada sebab untuk imam diberi kereta yang berharga sekitar RM50,000,” katanya.

Beliau berkata, Putra Kelantan turut mencadangkan kerajaan negeri menaikkan elaun RM500 sebulan kepada tenaga pengajar yang mengajar al-Quran di surau atau madrasah.

“Jika ini dapat dilaksanakan baharulah Kelantan layak bergelar Negeri Serambi Mekah pimpinan ulamak,” katanya. – MalaysiaGazette