Lima PATI Indonesia termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 41 tahun ditangkap anggota pasukan QRF ATM dalam Op Benteng setelah dikesan menceroboh masuk negara melalui laluan tikus di perairan Johor.-Gambar Ihsan ATM

KUALA LUMPUR – Lima orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang menceroboh masuk ke dalam negara menerusi perairan negara ditangkap anggota tentera dalam Op Benteng malam tadi.

Kesemua suspek, termasuk seorang wanita, berusia antara 22 hingga 41 tahun.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Op Benteng di kawasan di bawah tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) antara jam 2.10 pagi dan 9 pagi.

“Dalam serbuan pertama, Quick Reaction Force (QRF) atau Pasukan Reaksi Pantas melibatkan dua PATI pada jam 2.10 pagi di kawasan Kampung Masjid, Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Johor.

“Hasil soal siasat ke atas dua tangkapan pertama berjaya membawa kepada tangkapan kedua pada jam 9.00 pagi melibatkan 3 lagi PATI yang dikesan bersembunyi berhampiran Kampung Wakap,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua PATI yang ditahan dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah iaitu laluan tikus.

Justeru kata Markas itu lagi, pihak anggota tentera turut merampas wang tunai berjumlah RM1,492.75 iaitu membabitkan mata wang Malaysia dan dan Rupiah Indonesia bersama dua buah telefon bimbit milik suspek.

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

“Satu laporan telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut smeentara pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekiranya bersembunyi di sekitar kawasan tangkapan itu,” katanya. -MalaysiaGazette