Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

IPOH – Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat ini bukanlah sesuatu usul yang dianggap janggal.

Speaker DUN Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata ini kerana usul undi percaya yang akan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim itu mengikut Perintah-Perintah Tetap DUN Perak dan memenuhi agenda mesyuarat yang telah ditetapkan.

“Ini bukan satu inovasi baharu dan bukan kejanggalan atau di luar tabii, memang ada dalam amalan dewan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menerusi satu surat bertarikh 18 Nov lepas, Abd Manaf Hashim dari Barisan Nasional menyatakan bahawa Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai keyakinan majoriti daripada setiap ADUN.

Dalam pada itu, Mohamad Zahir berkata persidangan DUN yang ke-14 akan diadakan selama lima hari bermula Jumaat ini yang menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Perak sebelum persidangan bersambung pada Selasa (8 Dis) depan.

“Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021 dan Usul Wang Pembangunan 2021 yang dibentangkan Menteri Besar itu akan dibahaskan selama dua hari,” katanya.

Beliau berkata persidangan itu berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat apabila kesemua ADUN, wakil jabatan, urus setia dan petugas media yang hadir di dalam dewan perlu menjalani ujian saringan COVID-19.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast