Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak menyusut dalam dagangan hari ini ekoran kebimbangan mengenai peningkatan penawaran setelah pengeluar-pengeluar utama menangguhkan rundingan mengenai polisi pengeluaran tahun depan.

Rundingan itu bakal menentukan sama ada pengurangan bekalan yang dilaksanakan sekarang diteruskan memandangkan pandemik koronavirus telah menjejaskan permintaan.

Minyak mentah didagangkan untuk bulan Disember turun AS$0.20 atau 0.4% pada AS$ 47.68 setong pada 0136 GMT, setelah turun lebih daripada 1% pada hari Isnin.

West Texas Intermediate juga turun AS$0.27 atau 0.6% pada AS$ 45.07 setong, setelah turun 0.4% pada sesi sebelumnya.

Namun, kedua kontrak melonjak sekitar 27% pada bulan November, keuntungan bulanan terbesar sejak bulan Mac setelah perkembangan vaksin CovidD-19 meningkatkan harapan pemulihan ekonomi, sekali gus melonjakkan permintaan bahan bakar.

OPEC+ menangguhkan perbincangan mengenai dasar pengeluaran untuk tahun depan hingga Khamis ini, tiga sumber memberitahu Reuters, kerana pemain utama masih tidak bersetuju mengenai berapa banyak minyak yang harus dikeluarkan, di tengah-tengah permintaan lemah.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Rusia dan sekutu-sekutu lain, dijadualkan mengadakan pertemuannya pada hari Selasa setelah perbincangan menteri-menteri penting pada hari Ahad lalu gagal mencapai kata sepakat.

Sumber menggambarkan UAE telah menyulitkan keadaan tersebut dengan memberi isyarat bahawa mereka akan bersedia untuk menyokong pengurangan bekalan hanya jika pematuhan anggota kumpulan terhadap komitmen pemotongan ditambah baik.

Kumpulan ini akan mengurangkan pengeluaran semasa sebanyak 2 juta tong sehari dari Januari, tetapi dengan permintaan masih di bawah tekanan akibat wabak itu, OPEC+ sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan pemotongan semasa kepada bulan pertama tahun depan, kedudukan yang disokong oleh Arab Saudi, kata sumber. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast