Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali melambai selepas Program Sumbangan Penggantian Pam Air di Pangsapuri Sri Harmonis, Gombak Setia, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tidak akan berpindah kawasan ke Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, Mohamad Hilman Idham, dakwaan bosnya akan berpindah kerusi Parlimen adalah tidak benar sama sekali.

“Tidak benar (Azmin pindah kerusi Parlimen ke Batu Pahat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun, Hilman tidak pula memperincikan sama ada Mohamed  Azmin akan kekal bertanding di Parlimen Gombak atau tidak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu mengulas mengenai laporan MalaysiaPost kononnya Mohamed Azmin akan berbuat demikan pada PRU-15.

Laporan memetik sumber itu berkata, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon akan memberi laluan kepada Mohamed Azmin untuk bertanding di kawasan itu.

Untuk makluman, Rashid adalah salah seorang ahli Parlimen yang menyertai Mohamed Azmin dan bertindak keluar pilihan raya kecil pada Februari lalu.

Laporan itu juga menyebut Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Serudin Soud sebagai berkata, pertukaran kerusi Mohamed Azmin telah dipersetujui dan dibincangkan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, tular senarai nama calon bagi kerusi Parlimen di Selangor pada PRU-15.

Dalam senarai itu, Mohamed Azmin dikhabarkan akan kekal di Gombak dan Zuraida Kamaruddin pula kekal di kerusinya di Ampang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohamed Azmin menang kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 menewaskan calon Barisan Nasional, Abdul Rahim Kamarudin dan Pas, Khairil Nizam. – MalaysiaGazette