Selangor menjadi negeri tertinggi hari ini yang mencatatkan kes positif harian Covid-19 dengan sebanyak 1,577 dikesan di negeri itu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggunakan sejumlah RM1.167 bilion bagi menangani pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, angka itu melebihi jumlah peruntukan yang telah disalurkan oleh Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM1 bilion.

“Sehingga 31 Oktober 2020, KKM telah membelanjakan sebanyak RM1.17 bilion, temasuk peruntukan sedia ada kementerian bagi pembelian peralatan, bekalan perubatan, barangan pakai habis (consumables), kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen dan kit ujian serta lain-lain perkhidmatan dalam usaha mengawal wabak Covid-19.

“Peruntukan tersebut digunakan untuk kesemua fasiliti KKM termasuk hospital, klinik kesihatan dan klinik pergigian,” katanya menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang bertanya tentang jumlah perbelanjaan KKM dalam menangani pandemik Covid-19 sejak 18 Mac sehingga 31 Oktober tahun ini.

Menurut Aaron Ago, sebahagian besar daripada perbelanjaan ini termasuklah bayaran Elaun Khas Covid-19 kepada petugas barisan hadapan KKM berjumlah RM275 juta.

Pembelian kelengkapan perlindungan diri (PPE) berjumlah RM262 juta serta pembelian reagen dan kit ujian serta bayaran outsource perkhidmatan makmal swasta untuk ujian saringan Covid-19 berjumlah RM210 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk bayaran emolumen petugas kesihatan yang terlibat dalam rawatan, kawalan dan pencegahan wabak Covid-19 yang mana telah diperuntukkan di bawah peruntukan sedia ada KKM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette