NIBONG TEBAL – Seorang pekerja warga Bangladesh maut, manakala seorang pekerja Indonesia cedera selepas mereka dihempap tiang cerucuk dalam kejadian di tapak pembinaan kilang di kawasan Perindustrian Valdor, Simpang Ampat, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 10.25 pagi itu, Md Shriful Islam, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan, manakala Mustofa Salam, 50, mengalami cedera ringan.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Najib Hashim berkata, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 10.30 pagi dan sepasukan bomba bersama sebuah jentera digegaskan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pihak kami dapati dua lelaki tersepit di bawah tiang konkrit yang tumbang, namun seorang berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Lelaki warga Bangladesh yang terhempap separuh badan itu dapat dikeluarkan oleh pasukan kami kira-kira setengah jam kemudian, namun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Mohamad Najib, pihaknya difahamkan kejadian berlaku ketika sekumpulan pekerja sedang menanam tiang cerucuk tersebut sebelum tiang konkrit berkenaan tumbang dan menghempap dua daripada mereka. – Bernama