KUALA LUMPUR – AirAsia menawarkan jualan tiga hari untuk penerbangan domestik ke seluruh Malaysia dari 7 hingga 9 Disember 2020 di laman airasia.com dan Asean super app.
Tambang termasuk semua untuk Ahli BIG bermula daripada RM12 sehala, untuk tempoh perjalanan antara 14 Disember 2020 dan 30 Jun 2021.
Semua tempahan penerbangan yang dibuat sekarang hingga 31 Disember 2020 dengan tempoh perjalanan dari sekarang hingga 31 Mac 2021 dan penumpang boleh membuat perubahan tarikh perjalanan tanpa had dan tanpa bayaran tambahan untuk pertukaran penerbangan melalui pautan Tempahan Saya.
“Perjalanan udara domestik adalah salah satu sektor penting untuk menghidupkan kembali ekonomi dan AirAsia memuji usaha kerajaan menangani pandemik ini di samping memulihkan ekonomi.
”Baru-baru ini, kami telah mengumumkan lapan laluan domestik baharu dan menjangka promosi Cuti-Cuti Malaysia yang bermula daripada RM12 ini akan memenuhi permintaan perjalanan domestik.
“AirAsia juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menawarkan e-baucar bernilai RM50 untuk kempen Cuti-Cuti Malaysia yang diumumkan pada 24 November. Bagi mereka yang telah menebus e-voucher tersebut, ini adalah peluang terbaik untuk menggunakannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.
Meskipun begitu, katanya, kesihatan dan keselamatan kekal menjadi keutamaan AirAsia dan syarikat ini sentiasa komited untuk memberi jaminan ini.
Seperti yang digariskan di dalam laman web Airlineratings.com, syarikat penerbangan dinilai berdasarkan tujuh kriteria termasuklah maklumat yang menyeluruh mengenai prosedur Covid-19 di laman web, pemakaian pelitup muka, pemakaian peralatan perlindungan diri oleh kru kabin, perkhidmatan hidangan dalam penerbangan yang diubah suai, pembersihan pesawat berkala, peralatan pembersih peribadi dan penjarakan fizikal di dalam penerbangan. – MalaysiaGazette