Pendakwah selebriti dibawa keluar oleh anggota polis selepas mendapat perintah tahanan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan kes rogol di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 DISEMBER 2020.

PETALING JAYA – Polis diminta mengambil tindakan tegas ke atas pengadu dalam kes rogol dan cabul melibatkan pendakwah selebriti sekiranya wujud unsur laporan palsu.

Peguam kepada pendakwah muda berusia 25 tahun itu, Syed Amirul Syed Edros berkata, polis perlu berlaku adil kepada kedua-dua pihak dalam menyiasat dan mengadili sesebuah kes.

“Saya berharap polis bukan sahaja memberikan status tiada tindakan lanjut (NFA) kepada dua laporan polis rogol dan cabul terhadap anak guam saya.

“Saya juga harap sekiranya terdapat unsur laporan palsu dalam kedua-dua laporan NFA, ambil tindakan kepada pengadu kerana kita juga selain menegakkan hak hak mangsa sekiranya berlaku jenayah, kita juga hendak menegak hak anak guam saya.

“Kita takut ada pihak yang sengaja membuat laporan untuk menambah serta memburukkan lagi keadaan anak guam,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Petaling Jaya selepas proses reman ke atas suspek selesai hari ini.

Ujar Syed Amirul, tindakan itu penting kerana orang awam sentiasa menganggap sekiranya laporan polis dibuat ia bermakna anak guamnya bersalah.

Terdahulu, pendakwah selebriti itu dibawa ke mahkamah 10.30 pagi tadi dengan keadaan tangan digari dan berpakaian lokap warna ungu sebelum di bawa ke bilik reman.

Penolong Pendaftar, Siti Mazrah Mohamad membenarkan perintah reman lima hari sehingga 11 Disember 2020 untuk polis menyiasat suspek di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Siasatan berkenaan bersabit laporan polis seorang guru sekolah berusia 22 tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol suspek apabila didakwa diajak menyambut hari jadinya di sebuah restoran di Shah Alam sebelum dipujuk ke rumahnya di Damansara Perdana dan dirogol.

Mangsa membuat laporan polis pada 30 November lalu di Balai Polis Damansara mengenai kejadian yang menimpa dirinya pada 22 Oktober lalu.

Setakat ini, lapan laporan polis diterima polis daripada lapan mangsa berlainan manaka dua laporan polis rogol ke atas suspek berkenaan berstatus NFA iaitu satu di IPD Shah Alam dan satu lagi di IPD Subang Jaya.

Menurut Syed Amirul, anak guamya dilepaskan dengan jaminan polis setelah direman selama 10 hari oleh Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum ditahan semula segera oleh pegawai dari IPD Petaling Jaya berkait satu lapran polis berkaitan siasatan mengikut Seksyen 376 kanun keseksaan dakwaan merogol.

Jadi, katanya, apabila sebelum habis 24 jam selepas ditahan semalam, anak guamnya dibawa ke mahkamah hari ini dan direman.

Beliau dalam masa yang sama turut mengulas mengenai komen orang awam mengenai kenyataan polis mengenai siasatan kes berkenaan.

“Saya cuma nak bantu pemahaman orang awam bahawa apa yang diberitahu pihak polis termasuk maklumat berkaitan orang kena sabit kononnya memberitahu mangsa dia pengamal perubatan Islam dan ada guna minyak pengasih dan sebagainya serta mangsa pula dibawa ke rumah dan ditingalkan Grab sebagainya belum dibuktikan di mahkamah.

“Orang awam perlu faham bahawa kenyataan spesifik sebegitu belum menjadi fakta dibuktikan dan diuji di mahkamah sebelum menerima sebagai keterangan untuk menyabitkan pendakwah dengan mana mana kesalahan.

“Untuk setiap laporan sudah tentulah ada pengadu membuat laporan dan kita harap orang awam tak terima laporan-laporan ini sebagai bukti bahawa anak guam saya bersalah.

“Dia direman hanya untuk membantu siasatan polis kerana polis setelah menerima laporan perlu siasat kes sehingga selesai dan hasilnya barulah dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk dituduh atau sebaliknya,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.