Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong dan pengedar produk daging sejuk beku di seluruh negara bagi mengelak aktiviti kartel daging import haram.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemeriksaan dijalankan secara bersepadu dengan agensi lain khususnya pegawai-pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

Katanya, ia telah dilakukan bermula oada 4 hingga 6 Disember lepas yang sejumlah 128 premis telah diperiksa dan tiada tindakan kes diambil, selain kes awal di Johor.

“Kementerian juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dalam isu melibatkan pengimportan produk daging sejuk beku.

“Tindakan penguatkuasaan bersepadu dijalankan bersama dan tindakan kes akan diambil mengikut bidang kuasa agensi masing-masing,”katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Sik-Pas), Ahmad Tarmizi Sulaiman yang  mahu tahu perkembangan siasatan dan langkah tegas kerajaan dalam menangani kes kartel daging import haram, yang turut memproses daging babi di Senai, Johor baru-baru ini.

Alexander menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yangmengambil kesempatan menggunakan perbahasan halal secara palsu bagi memperdaya dan mengelirukan pengguna sehingga menyebabkan hak dan kepentingan mereka terjejas. – MalaysiaGazette