Mayat remaja itu ditemukan terapung di jeti Laman Lesung, Batu Papan, Temerloh pagi tadi.-BERNAMA

KUANTAN – Penantian keluarga Mohd Loqman Hamka yang dipercayai lemas di Sungai Pahang sejak 11 hari lepas berakhir apabila mayat remaja itu ditemukan terapung di jeti Laman Lesung, Batu Papan, Temerloh kira-kira 120 kilometer (km) dari sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Yusri Othman berkata mayat Mohd Loqman, 20, ditemui pada 8.10 pagi oleh penduduk berhampiran dalam keadaan lengkap berpakaian dan identitinya telah disahkan oleh ahli keluarga mangsa.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 32 km dari tempat dia dikatakan terjatuh semasa memeriksa rawai ikan di Kampung Tebing Tinggi, Temerloh dan telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk bedah siasat,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa Mohd Loqman, Hamka Abu Bakar, 62, berkata biarpun anaknya ditemukan tidak lagi bernyawa namun beliau bersyukur kerana jenazah anak bongsu daripada empat beradik itu akhirnya ditemui sekali gus menamatkan penantian keluarga.

“Saya berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertungkus lumus membantu kami mencari Mohd Loqman sejak hari pertama dia terjatuh ke dalam sungai. Kami bersyukur doa kami sebagai ibu bapa untuk melihatnya kali terakhir dimakbulkan Allah,” katanya.

Pada 27 Nov lepas, Mohd Loqman dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu selepas keluar rumah sekitar 9.30 pagi dan kehilangannya disedari beberapa jam kemudian apabila rakannya menjumpai bot milik keluarga mangsa hanyut.

Kisah kehilangan Mohd Loqman turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Khamis lepas, bersama tiga anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Selain bomba dan polis, operasi SAR turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia, namun operasi tersebut dihentikan secara rasmi semalam ekoran tiada perkembangan positif.- BERNAMA