KUALA LUMPUR – Polis belum mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki yang ditemui tanpa kepala di atas bukit berhampiran hutan tanah rizab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya masih menunggu laporan forensik, sebelum mengklafikasikan bentuk kematian.
“Kita masih menyiasat dan mayat itu telah dihantar ke forensik untuk ditentukan sama ada disebabkan oleh jenayah atau dia ambil tindakan bunuh diri.
“Sehingga hari ini, kita belum dapat kepastian lagi. Tidak dapat apa-apa maklumat lagi, sama ada bunuh diri atau dibunuh. Kita sedang tunggu laporan.
“Berdasar keadaan mayat, ianya sudah reput hingga tidak ada lagi tanda-tanda,” katanya kepada media selepas merasmikan Balai Polis Sri Muda di sini, hari ini.
Semalam, polis Daerah Gombak menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 11.45 pagi.
Mayat lelaki dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga hari itu ditemui dalam sebuah banglo lama kira-kira lima meter dari kaki bukit.
Operasi membawa turun mayat agak sukar susulan pihak berkuasa perlu mengambil masa 30 minit untuk mendaki ke lokasi penemuan mayat.
Menurut Noor Azam, sehingga kini juga belum ada saksi tampil atau suspek ditahan.
Bagaimanapun, katanya, polis akan membuat semakan dengan laporan orang-orang hilang. – MalaysiaGazette