The Dewan Rakyat sitting at the Parliament in Kuala Lumpur Dewan Rakyat sit sitting
Persidangan Dewan Negara.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) secara undi belah bahagian.

Keputusan tersebut diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, selepas memutuskannya menerusi undian dengan 109 bersetuju, 96 tidak bersetuju manakala, 15 lagi tidak hadir.

Azhar berkata, selari dengan kelulusan kementerian ke-15 untuk RUU Perbekalan 2021, wang berjumlah RM986,618,000 untuk kepala B31, anggaran perbelanjaan mengurus 2021 menjadi sebahagian daripada jadual.

Terdahulu, Dewan Rakyat diberi tempoh selama 10 minit sebelum melaksanakan undian belah bahagian RUU Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian tersebut.

Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mengarahkan perkara itu berkata, ia dibuat selepas cadangan undian belah bahagian dikemukakan Ahli Parlimen (PH-Lembah Pantai), Fahmi Fadzil disokong 15 Ahli Parlimen, selari Peraturan Mesyuarat 46.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, ketika penggulungan berkata, pihaknya sedang meneroka potensi untuk mengadakan gelembung perjalanan dengan negara ‘zon hijau’.

Bagi memulihkan sektor pelancongan negara itu, katanya, kementerian sudah menjalankan rundingan bersama beberapa agensi kerajaan dan wakil daripada penggiat industri untuk mengemukakan beberapa mekanisme gelembung perjalanan. – MalaysiaGazette