Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO masih membisu dalam soal siapa bakal dilantik sebagai Menteri Besar Perak, selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berdepan dengan usul undi percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang selesai mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, menyerahkan sepenuhnya kepada baginda untuk mempertimbangkan calonnya.

“Alhamdulillah, saya telah mengadap tuanku untuk persembahkan surat memohon perkenan bagi mempertimbangkan calon Menteri Besar.

“Pengumuman akan dibuat oleh tuanku sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini akan dikeluarkan oleh pihak istana,” katanya kepada media selepas mengadap Sultan Nazrin hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah menjunjung titah Sultan Perak bahawa mencalonkan itu hak UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi untuk mengumumkan calon berkenaan hak mutlak baginda dan istana akan memaklumkannya.

“Biar tuanku yang mengeluarkan titah pemakluman mengenainya,” katanya.

Ditanya adakah calon dari UMNO dan BN mendapat sokongan majoriti sebagai menteri besar? Pengerusi BN itu memberitahu, itu yang parti persembahkan dan beliau yakin majoriti sokongan itu lebih dari mencukupi.

Menjawab soalan jika dalam senarai itu dimasukkan juga calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, katanya, sebolehnya UMNO dan BN mahu pertahankan kesepakatan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast