Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan kira-kira RM34.6 bilion yang melibatkan pemberian subsidi insentif dan bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan 2, Mohd Shahar Abdullah, perbelanjaan itu adalah sehingga suku ketiga 2020 dengan RM18.2 bilion dibiayai di bawah peruntukan Belanjawan 2020 dan RM16.4 bilion lagi dibiayai di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Katanya, perbelanjaan itu merangkumi pelbagai sektor, antara pertanian, kepenggunaan, pengangkutan, keselamatan, komuniti dan keagamaan, kesihatan dan pendidikan.

“Ini termasuk bantuan sara hidup dan kebajikan masyarakat, bantuan faedah pinjaman dan pemberian elaun.

“Pemberian kerajaan yang melibatkan subsidi, insentif dan bantuan ini berdasarkan kepada keprihatinan kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya menjawab soalan Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen, hari ini.

Saifuddin Nasution yang merupakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu meminta Kementerian Kewangan menyenaraikan semua jenis bantuan kepada rakyat kelompok B40 dan M40 dan jumlah sebenar perbelanjaan dibiayai kerajaan.

Menurut Mohd Shahar, pemberian agihan subsidi bercara bersasar bagi dua kelompok itu antara matlamat kerajaan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan, selain mengurangkan ketirisan yang berlaku.

Ujar beliau, perbelanjaan itu termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Tambahan Bantuan Sara Hidup, bantuan tambahan kepada golongan mudah terjejas seperti OKU dan ibu tunggal serta bantuan secara one-off yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast