Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Langkah membangunkan ladang hutan di bawah PPLH ini merupakan usaha kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan pada masa hadapan.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) pula akan memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Bantuan Import dan sebanyak RM2.8 juta bagi Insentif Kewangan Untuk Pembelian Mesin (FIPM) pada tahun hadapan berbanding RM2.56 juta yang disalurkan kepada 81 syarikat pada tahun ini.

Sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, prestasi eksport kayu-kayan negara sehingga Oktober 2020 mencatatkan nilai sebanyak RM17.8 bilion dan dijangka dapat melepasi RM20 bilion sebagai sumbangan sektor ini kepada pendapatan eksport negara bagi tahun ini

Menurut kementerian itu, usaha merancakkan penglibatan bumiputera lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dalam sektor perkayuan di bawah Program Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Bumiputera akan dilaksanakan dengan MTC bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta persatuan industri sedang merancang program pembangunan untuk eningkatkan keupayaan mereka.

”KPPK yakin bahawa industri perkayuan akan terus berkembang dan memberi kemakmuran kepada negara dengan pelbagai insentif dan peruntukan yang disediakan kementerian melalui agensi dan majlis di bawahnya, juga berharap penglibatan pemain industri dan sokongan persatuan industri perkayuan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk memastikan industri ini terus dipacu demi kesinambungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette