KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berharap kemelut kepimpinan kerajaan negeri itu yang tercetus pada Jumaat lalu, akan berakhir dengan pelantikan Menteri Besar yang baharu hari ini.
Titahnya, baginda telah memanggil mengadap semua pihak dari kalangan pakar perundangan, pegawai kerajaan, orang perseorangan dan pemimpin politik kedua blok untuk mempersembah maklum perkembangan yang berlaku.
“Semua mereka mempunyai niat dan tujuan murni mahu membantu agar kemelut yang berlaku dapat ditangani.
“Pelbagai cadangan, pandangan, pendapat dan saranan telah dipersembahkan, dengan hasrat membantu Beta merungkaikan kekusutan yang dihadapi,” titah baginda pada majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.
Kemelut itu berlaku, susulan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyembahkan watikah memaklumkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak telah terjejas selepas hilang sokongan majoriti melalui usul undi percaya pada sidang DUN Jumaat lalu.
Dengan itu, Ahmad Faizal mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).
Permohonan meletak jawatan bersama anggota Exco kerajaan negeri itu dipersembahkan melalui warkah bertarikh 5 Disember 2020, yang mendapat perkenan Sultan Nazrin Shah
“Beta menzahirkan titah terima kasih kepada Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018, setelah mendapat perkenan Beta dua kali mengangkat sumpah jawatan.
“Kali pertama angkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 12 Mei 2018, dan kali kedua pada 13 Mac 2020.
“Beta juga menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” titahnya.
Baginda kemudian memperkenan menerima calon Menteri Besar yang baharu, iaitu ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
“Pada timbangan Beta, ahli Dewan Negeri Kota Tampan, boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.
“Beta menzahirkan tahniah kepada Datuk Saarani bin Mohamad yang telah diperkenankan untuk diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar kepada kerajaan Beta,” titahnya.
Baginda turut membaca Surah Ali Imran, ayah 26 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Titahnya, insan beriman akan menghayati sepenuhnya inti pati ayat itu, kerana punca kuasa yang dimiliki, bersumberkan Allah, lantas sewajarnya mengabdikan seluruh kesetiaan kepada Ilahi.
Dalam pada itu, baginda juga menzahirkan penghargaan tinggi kepada mereka semua, termasuk menghargai petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta sepanjang kemelut itu berlaku.
“Beta menghargai petuga media yang bertugas di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan untuk melaksanakan tugas secara tekun lagi komited, melapor dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat jelata yang mengikuti perkembangan yang berlaku.
“Demikian juga anggota polis yang telah membantu mengawal keadaan membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur,” titahnya.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Dewan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan dan ahli-ahli Dewan Negara Perak yang bekerjasama dalam semangat saling membantu, saling nasihat menasihati, memastikan segala urusan kerajaan tidak terjejas dan kemelut dihadapi berjaya ditangani secara bijaksana.
“Semoga segala khidmat bakti tersebut diterima Ilahi sebagai amal makruf yang diberikan ganjaran dunia, ganjaran akhirat,” titahnya. – MalaysiaGazette