Yusri Che Lah. Foto AFFAN FAUZI.

PETALING JAYA – Bekas jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah yang dilantik menjadi jurulatih skuad Projek FAM-MSN akan meninjau bakat dalam proses pemilihan bermula minggu ini.

Beliau dijangka menamakan senarai skuad dengan menyerapkan kelompok pemain generasi kedua lulusan Akademi Mokhtar Dahari sebagai teras.

Yusri, yang juga bekas pemain akan dibantu oleh panel kejurulatihan yang dianggotai Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal), dengan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai anggota sokongan sains, perubatan dan teknologi sukan.

Beliau diumumkan memegang jawatan itu pada majlis pengumuman skuad Projek FAM-MSN diadakan di Arena Futsal FAM di sini hari ini yang dihadiri enteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Memiliki 42 caps antarabangsa yang dikumpul dari 1997-2002, Yusri yang pernah menyarung jersi Perlis, Selangor dan Perak, memulakan kerjaya selaku jurulatih pada 2009 dan berpengalaman membimbing skuad Perlis di peringkat Piala Presiden/Sukma, MyKids dalam NFDP, Felcra FC dan Kuala Lumpur dalam saingan tempatan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerima jersi bola skuad baharu pasukan Harimau Malaya daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kiri) pada Pengumuman Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2020.

Dalam pada itu, FAM dan Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) turut bersetuju membentuk jawatankuasapengurusan pasukan yang dipengerusikan oleh pengurus pasukan, Mohd. Joehari Mohd Ayub, yang juga Naib Presiden FAM.

Joehari adalah bekas pengurus pasukan Sabah pada 2003-2005.

FAM dan MSN juga akan mengumumkan penaja dan rakan pendidikan pada
masa terdekat.

Sementara itu, sesi pemilihan pemain telah dirancang bermula esok mengikut zon
yang telah dikenal pasti seperti berikut:

AMD Gambang: 11-12 Disember di AMD, Pahang
Zon Pantai Timur: 13-14 Disember di Kuala Terengganu, Terengganu
Zon Selatan: 15-16 Disember di Melaka
Zon Tengah: 18-19 Disember di Bukit Jalil @ Putrajaya
Zon Utara: 21-22 Disember di Alor Setar, Kedah
Pemilihan Akhir: 7-9 Januari 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil

– MalaysiaGazette