Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini memohon ampun kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana tidak hadir ke Istana Kinta mengadap Tuanku pada Selasa lalu.

Beliau menyatakan perkara itu pada sidang media petang ini, selepas gagal mendapat perkenan sultan untuk pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

“Saya bagi pihak Pas Perak dan tiga ADUN memohon ampun kepada Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan sentiasa menjunjung tinggi institusi kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Kami menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Gunong Semanggol bersama Mohd Akmal Kamaruddin (ADUN Selama) dan Khalil Yahaya (ADUN Kubu Gajah) menzahirkan permohonan ampun atas kekhilafan itu.

Katanya, Pas Perak akan mengutus surat kepada sultan untuk menzahirkan perkara itu.

Selasa lalu, tiga ADUN Pas dititah mengadap Tuanku untuk menyatakan perkembangan mengenai kemelut kerajaan negeri, yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar kerana gagal mendapat sokongan menerusi undi percaya pada sidang DUN itu Jumaat lalu.

ADUN dari UMNO dan Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) masing-masing mengadap baginda selepas dititah.

Bagaimanapun, tiga ADUN Pas tidak berbuat demikian dengan alasan belum ada persediaan untuk mempersembahkan kepada sultan.

Berikutan itu, sebaik selesai majlis istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baharu oleh ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dan kerajaan negeri dibentuk, Pas meminta jawatan Exco diperuntukan kepada ADUN mereka.

Namun, Saarani dalam kenyataannya hari ini memberitahu, pelantikan anggota Exco dalam kalangan ADUN Pas itu bergantung kepada perkenan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast