PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Enam suspek lelaki yang ditahan kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur  di sebuah hotel di sini telah disambung reman sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 22 tahun bekerja sebagai penghantar makanan itu dibenarkan reman selama dua hari lagi bagi membantu siasatan kes rogol itu.

“Sebelum ini mereka telah ditahan pada 4 Disember lalu bertindak atas laporan polis mangsa bersama kakak kandungnya dan direman tujuh hari sehingga hari ini.

“Hari ini kesemua suspek termasuk dua daripadanya berusia 16 dan 17 tahun serta tidak bersekolah itu dipohon perintah sambung reman dan dibenarkan direman dua hari lagi bagi membantu melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika disabitkan bersalah.

Dalam kejadian pada 2 Disember lalu, pukul 12 tengahari, mangsa mengadu tentang kejadian dirogol enam lelaki kenalan itu kepada kakak kandungnya.

“Mangsa mendakwa dirinya dirogol enam lelaki penghantar makanan yang dikenalinya menerusi seorang rakan perempuannya.

“Bertindak atas maklumat itu polis terus bertindak pantas menjejaki dan menahan kesemua suspek pada 4 Disember 2020 di kawasan Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara,” kata Nik Ezanee.

Kesemua suspek yang disiasat mengaku merogol gadis berkenaan yang mana empat orang berusia antara 20 hingga 22 tahun dan dua lagi suspek adalah kategori kanak-kanak dan tidak bersekolah.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek itu mempunyai rekod kes jenayah dan dadah,” tambah Nik Ezanee.

ARTIKEL BERKAITAN:

Enam penghantar makanan mengaku rogol gadis 15 tahun

1 Komen

Comments are closed.