Pemilik Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dashtigeer bersama Rajinikath.

KUALA LUMPUR – Hari ini merupakan hari kelahiran pelakon nombor satu India Selatan, Rajinikanth yang juga genap berusia 70 tahun.

Apa yang lebih bermakna pelakon yang terkenal dengan jolokan superstar sehingga hari ini mempunyai ramai peminatnya di Malaysia.

Malah ramai teruja apabila Rajinikanth menghabiskan masa lebih 50 hari tinggal di negara ini satu masa dahulu.

Beliau menerima jemputan serta usaha oleh pemilik Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dashtigeer untuk menghabiskan penggambaran filem Kabali yang hampir 80 peratus dibuat di Malaysia.

Sebelum itu, pelakon tersohor itu kebiasaannya tidak akan berada di mana-mana negara  lebih daripada dua minggu kerana lebih suka berada di negaranya sendiri.

Hari ini, sempena hari lahir Rajinikanth, Abdul Malik yang juga peminat tegarnya melalui inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) mengagihkan sebanyak 1,000 pek nasi beriani kepada orang ramai.

Kata Abdul Malik, hakikatnya beliau  ingin menyambut sambutan hari lahir Rajinikanth bersama semua peminat Rajinikath.

“Kalau boleh memang saya hendak sambut hari jadi Superstar Rajinikanth kita namun apakah daya lagi-lagi dengan keadaan pandemik Covid-19 ini.

“Saya bersama syarikat juga melalui bantuan pihak-pihak lain menganjurkan pemberian pek beriani untuk semua, ini juga tanda penghargaan serta kasih kepada superstar kita yang tidak henti-henti menghiburkan bukan kita sahaja sebaliknya jutaan peminat seluruh dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Raaji Silk Palace, Daddy Arumugam Recipe tidak lupa Malaysia Tamilan Uthavum Karangal, Dr A Muraly kerana bekerjasama merealisasikan keraian hari ini.

“Selamat Hari Jadi kepada superstar yang di sayangi oleh kita semua, semoga beliau panjang umur dan sentiasa menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya (gambar bawah) kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain daripada mengedarkan pek makanan di beberapa lokasi antaranya Raaji Silk Palace cawangan Brickfields, Restoran Daddy Arumugam Recipe, sebanyak 10 buah rumah kebajikan juga mendapat sumbangan.

Sesiapa yang ingin mendapatkannya boleh datang ke lokasi berkenaan dengan mematuhi segala garis panduan seperti pemakaian pelitup muka serta menjaga jarak tepat pukul 12 tengah hari ini. – MalaysiaGazette