Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali (tengah) bersama Setiausaha Agung Putra, Borhan Zakaria (dua dari kanan) dan Timbalan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Tan Sri Khalid Yunos (dua dari kiri) ketika hadir ke Persidangan Agung Tahunan Putra 2020-2023 di Hotel Regency, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persidangan Agung Perwakilan Tahunan Pertama Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini sebulat suara menyokong penuh Ucapan Dasar Presiden yang bertajuk “Putra Bersih Bermoral”.

Persidangan satu hari yang diadakan di sebuah hotel di sini menyaksikan sebanyak 10 usul dibawa oleh Perwakilan Putra Perak, Hasbullah Elias.

Usul itu, antara lain menjadi paksi perjuangan kepada Putra untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan rakyat dalam memastikan bangsa peribumi kekal dan tidak hilang sebagai bangsa ketuanan.

Hasbullah menyatakan, kegawatan politik negara dan kegelisahan berpanjangan rakyat adalah kerana krisis kepimpinan yang hilang jati diri, semangat patriotik dan berjiwa rakyat.

“Sebab itu berlaku pelbagai penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan sifat tidak bermoral. Ianya berpunca dari kepimpinan yang tidak bersih, tidak berakhlak, tamak, rakus, bersifat hipokrit dan munafik.

“Akhirnya bangsa peribumi menang sorak kampung tergadai setelah 63 tahun merdeka dan hanya segelintir pemimpin politik serta kelompok tertentu hidup dengan penuh kemewahan,” kata Hasbullah.

Beliau berkata, Putra Perak dan negeri lain amnya berpendapat, kejayaan mana-mana bangsa dan kelangsung tamadun Islam serta kehebatan sesebuah bangsa dan negara adalah disebabkan kepimpinan bersih serta bermoral.

Maka, tegasnya, Ucapan Dasar Presiden adalah tepat dan wajib diberi sokongan, menjadi pegangan dan penghayatan kepada semua kepimpinan warga parti itu jika mahu mendapat sokongan rakyat dan meraih kemenangan bagi memimpin serta mentadbir kerajaan.

Kata Hasbullah menerusi usul itu, Putra wajar meneruskan misi perjuangan tanpa noktah selagi mana kek ekonomi tidak dibahagikan secara adil mengikut komposisi kaum.

“Bagi menjayakannya, maka Hak Keistimewaan Melayu di bawah Fasal 153 akan terus diperjuangkan dan dijadikan dasar induk kepada apa sahaja penggubalan dasar pembangunan ekonomi negara.

“Agenda Pembangunan Ekonomi Bangsa Peribumi ini wajib dijadikan dasar induk dalam merangka Pelan Pembangunan Negara setiap lima tahun sekali, Belanjawan Negara dan apa sahaja Program Pakej Ekonomi yang diperkenalkan perlu memastikan ianya adil oleh semua kaum terutama bangsa peribumi,” katanya.

Beliau berkata, usul itu juga menjunjung dan teguh bersama 7 Wasiat Raja-Raja Melayu dan mengembalikan status hak milik tanah rezab Melayu ke tahap 50 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Tanah rezab Melayu yang tahun 1957 berjumlah tiga juta hektar telah berkurangan kepada 1.7 juta hektar pada 1995, dan sekarang tahun 2020 jumlah itu semakin berkurangan.

Usul itu juga menyatakan dengan tegas pendirian Putra akan memperjuangkan bagi menentukan jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri dihadkan tempoh memegang jawatan hanya dua penggal sahaja.

Jawatan bertaraf menteri bukan anggota kabinet juga perlu dimansuhkan menerusi undang-undang supaya tidak membazir duit rakyat dan dijadikan alat rasuah politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast