KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra menuntut sekurang-kurangnya 30 peratus dari bakal calon yang bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kalangan sayap parti itu yang berusia bawah 40 tahun.
Tegas Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, mereka perlu diberi peluang oleh parti untuk menunjukkan kebolehan dan berkongsi pendapat seiring arus peredaran zaman dengan kemudahan teknologi.
Kata beliau, ini pemangkin dalam usaha Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menarik sokongan golongan muda.
“Dengan adanya kuota dan peluang seperti ini, akan membantu Putra untuk mendekati, memahami kehendak, cita rasa dan minda pengundi golongan muda.
“Kalau kita perhatikan Pas, DAP, PKR, Bersatu mahupun UMNO, mereka nampak lebih bersedia menonjolkan calon muda, berbanding kita.
“Mungkin ini sesuatu yang boleh pucuk pimpinan pertimbangkan di masa akan datang, barulah Putra dilihat segar dan melaksanakan peremajaan politik sepenuhnya,” katanya menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wira sempena Persidangan Agung Tahunan Kali Pertama 2020.
Persidangan yang berjalan dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu berlangsung di Dewan Wisma Sejarah di sini malam semalam.
Nasrul Ali Hasan berkata, tahun 2020 melakar sejarah baharu untuk Putra kerana kali pertama mengadakan persidangan agung bertunjangkan suara akar umbi dalam membawa perjuangan membela nusa dan bangsa.
Katanya, ini bukti kepimpinan cemerlang dan cekal yang dimaksudkan oleh presiden parti, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.
“Putra tiada masa untuk berpolitik perkara yang remeh temeh. Kita usaha keras untuk kukuhkan rumah walaupun terpaksa patah sayap bertongkatkan paruh, atau tiada dayung dengan lidi tetap kita kayuhkan.
“Janganlah kita ini menjadi ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, namun penambahbaikan perlu untuk memastikan rumah agam iaitu Parti Putra yang dibina dilihat saksama, dihormati dan tiada ruang untuk pertikaian.
“Kepimpinan yang bersih dan layak perlu dilihat dengan lebih teliti bukan sekadar tangkap muat,” katanya.
Jelas beliau, kewujudan Putra bukan untuk menjadi kuasa ketiga bagi semak dan imbang kecelaruan kepimpinan politik tanah air semata-mata malah membawa sinar dan harapan kepada rakyat khususnya anak muda.
“Putra harus berusaha menjadi menjadi parti harapan orang muda, parti idaman dan parti masa depan.
“Justeru, Wira Putra perlu terlibat dalam segenap aspek perancangan atau penggubalan dasar bagi memastikan perihal anak muda tidak dibiar atau terlepas pandang.
“Pada masa sama, melahirkan lebih ramai pemimpin muda berpotensi, cakna politik dan memahami isu semasa,” katanya.
Berikut barisan kepimpinan baharu Pergerakan Wira Putra 2020-2023:
Ketua Wira, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Naib Ketua Wira, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah
Setiausaha, Muhammad Farydzul Fareez Mohd Bani
Bendahari, Ashraf Rosli
Ketua Penerangan, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun
Ahli Jawatankuasa (Exco):
Muhammad Firdaus Mustaffa
Muhammad Fazreen Johari
Mohamad Hashidi Mohd Zin
Mohamad Izwan Zainal
Haziq Aizuddin Subhi
Mohd Ersa Halim
Mohammad Amirrudin Ab. Kadir
Muhammad Amirul Mahfuz Abdullah
Muhammad Syahmi Halim
Mohd Eaidy Abdul Hamid
Muhammad Afiq Mohammad Azman
Wan Muhamad Ridhwan Wan Abd. Rahman
Mohd Fakhri Ismail – MalaysiaGazette
















