Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ditahan kerana cuba merasuah polis.

Kejadian itu berlaku semasa sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda Polis IPD Gombak sedang melakukan rondaan di Kilometer 14 dari arah Kuala Lumpur menghala ke Rawang ternampak sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Semasa polis menghampiri motosikal itu, tiba-tiba penunggang motosikal memecut laju ke arah Rawang tetapi berjaya dipintas oleh polis di Kilometer 15.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kedua-dua warga Indonesia yang berusia 39 dan 50 tahun itu gagal menunjukkan dokumen diri.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, secara tiba-tiba kedua-dua suspek mengeluarkan sejumlah wang dan cuba untuk memberi rasuah kepada anggota polis bertugas.

“Polis telah memberi amaran supaya menyimpan wang tersebut tetapi kedua-dua suspek berdegil dan bertindak mencampakkan wang tersebut ke dalam kereta peronda,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Anggota polis bertindak menahan kedua-duanya di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1957/64.

Mereka direman selama 14 hari mulai semalam hingga 25 Disember ini. – MalaysiaGazette