Seorang kakitangan menyerahkan pelekat kenderaan kepada seorang pengguna di Lebuh raya SILK sempena sambutan Hari Integriti 2020 Prolintas baru--baru ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) menjadi syarikat pertama mengedarkan pelekat kenderaan terbanyak di Malaysia dan diikhtiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Pencapaian itu diterimanya selepas mengedarkan 100,000 pelekat kenderaan kepada para pengguna empat lebuhraya seliaanya baru-baru ini dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya memerangi gejala rasuah.

Program pengedaran itu diadakan bersempena sambutan Hari Integriti 2020 Prolintas yang bertemakan ‘Putuskan Rantaian Rasuah’, juga sempena sambutan Hari Pencegahan Rasuah Antarabangsa 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, syarikat ini mengamalkan nilai integriti tinggi yang merupakan asas utama bagi setiap apa yang kami laksanakan dalam pelbagai aspek seperti pengurusan operasi, pengurusan pelanggan, penjenamaan dan ketelusan urusan di semua peringkat.

Selain mengukuhkan nilai tersebut, ianya mustahak untuk mengekalkan komitmen serta standard etika yang tinggi untuk memenangi kepercayaan pihak berkepentingan, pihak berkuasa dan orang ramai.

”Program kesedaran ini juga bukti komitmen PROLINTAS terhadap amalan berintegriti dalam menjalankan perniagaan dan menzahirkannya kepada pihak berkepentingan dan rakan perniagaan berhubung kesungguhan kami dalam memerangi rasuah,” katanya.

Untuk rekod, ,PROLINTAS telah menerima pengikhtirafan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. sebagai syarikat konsesi lebuh raya pertama di Malaysia yang dianugerahkan Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah Antarabangsa (ABMS ISO 37001: 2016) untuk kesemua syarikat di bawahnya. – MalaysiaGazette