Mohd Aizat Izzudin Azme dan Jacob Yoshua Jefry mewakili KV Keningau dalam Tiny Lit Festival, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dua pelajar berkeperluan khas dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah menyerlahkan bakat seni mereka apabila terlibat dalam Tiny Lit Festival, baru-baru ini.

Tiny Lit Festival adalah festival seni dan saster anjuran persatuan Heartwrite yang berpangkal di Brunei Darussalam.

Mohd Aizat Izzudin Azme, 17, dan Jacob Yoshua Jefry, 16, telah mempersembahkan serta melukis ilustrasi untuk tiga cerita pendek dan tiga puisi yang ditayangkan semasa majlis pelancaran tersebut.

Karya karya yang dipersembahkan adalah berkaitan dengan mitos dan lagenda kaum etnik di Sabah.

Video persembahan tersebut boleh dilayari melalui pautan https://youtu.be/YkeS2ohTe_Y.

Guru penyelaras, Sirhajwan Idek berkata, festival ini berlangsung dari 5 hingga 9 Disember 2020 merupakan acara tahunan dengan pelbagai aktiviti seperti panel perbincangan, bengkel, pameran dan persembahan berkaitan dengan sastera dan seni.

Pada tahun ini, festival ini menganjur acara tersebut secara bersemuka dan maya.

Meskipun begitu, katanya, dua peserta berkenaan, Mohd Aizat dan Jacob yang dibimbing oleh guru guru dari Jabatan Pendidikan Khas sekolah tersebut merancang persembahan terbaik untuk dipersembahkan dalam festival berkenaan.

Karya “The Tales of Borneo” – hasil nukilan seorang guru Kolej Vokasional berkenaan menampilkan beberapa mitos seperti “Bele Bele” (orang orang) dan “galap” yang lebih dikenali sebagai hantu air di kalangan komuniti tempatan.

Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Bin Sabin, berbangga dengan penglibatan pelajar pelajar berkeperluan khas dengan aktiviti seni dan sastera sebegini.

Katanya, ianya merupakan salah satu inisiatif sekolah tersebut dalam meningkatkan peluang bagi pelajar pelajar pendidikan khas agar mereka dapat menyertai pelbagai aktiviti tanpa sebarang halangan. – MalaysiaGazette