Erma Fatima

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon, Erma Fatima membuat permohonan maaf berhubung kenyataan terhadap kekasih gelap Aliff Aziz yang didakwa terdapat unsur cuba melaga-lagakan penduduk Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 56, kekal dengan pendirian perbuatan wanita asal Singapura iaitu Sarah Yasmine mendedahkan aib artis dan kaum wanita adalah menjatuhkan maruah.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Saya terima kalau ada yang tidak puas hati dengan kenyataan saya.

“Saya minta maaf kalau ia mengguris hati orang Singapura tapi saya tetap dengan pendirian perbuatan perempuan itu (Sarah Yasmine) menjatuhkan maruah orang seni dan maruah perempuan,” katanya.

Erma berkongsi permohonan maafnya yang dibaca pengacara Roslan Shah menerusi video siaran langsung di Instagram miliknya di sini.

Sementara itu, Erma yang turut menghantar pesanan melalui mesej kepada Roslan berkata, peguamnya tidak membenarkan dia untuk mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.

Jelasnya, dia tidak bermusuhan dengan rakyat Singapura dan kenyataan dibuat hanya ditujukan kepada Sarah.

“Salam Lan, Erma minta maaf sebab peguam saya tak benarkan buat apa-apa kenyataan tentang isu ini. Yang pasti saya tidak bermusuh dengan warga Singapura, saya tidak suka dengan cara perempuan itu mengaibkan orang yang tiada kena mengena dalam kes Aliff.

“Tiada sebab saya nak bermusuh dengan orang Singapura, saya bawa masuk Aaron Aziz dan Adi Putra ke industri ini dan mereka diterima sebab kelakuan mereka baik,” jelasnya.

Sebelum ini, kenyataan Erma meminta Sarah berambus dan menyelesaikan konflik mengenai isu Aliff di negara asalnya mendapat perhatian umum.

Gara-gara perkara itu, Erma dituduh bermain sentimen negara sehingga mengakibatkan warga Singapura berasa marah dengan kenyataannya yang disifatkan sebagai kasar.

Pada 22 April lalu, Sarah muncul mendedahkan dia ada kekasih Aliff sejak Januari lalu selepas tidak tahan melihat pelakon itu teruk dikecam susulan dicekup berkhalwat dengan aktres Ruhainies pada 9 Mac lalu.

Sejak itu, Sarah mula mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan dipercayai di antara Aliff dan wanita dinamakan sebagai ‘NRF’ di Instagram miliknya.

Pendedahan perbualan itu turut mengaitkan nama beberapa selebriti lain seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen sehingga ada di antara mereka berbalas kenyataan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast