KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menggesa semua Ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga yang akan dilakukan esok.

Menurut kenyataan Majlis Setiausaha PH, ini kerana ia tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

“Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa apa yang diumumkan Menteri Kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media tidak memenuhi apa yang dipohon dan diharapkan ramai Ahli Parlimen malah juga rakyat amnya,” katanya kenyataan bersama.

Kenyataan bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Hatta Ramli dan  Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke itu turut menyatakan Belanjawan tersebut perlu ditolak kerana ia turut tidak tidak memenuhi beberapa permohonan rakyat dan Ahli Parlimen.

Ia meliputi isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isu moratorium pinjmaan bank, isu bantuan kepada petugas barisan hadapan dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, isu pendidikan, pendapatan yang berkurangan, kehilangan pekerjaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini PH telah menyatakan ia akan membahaskan Belanjawa 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa dan akan membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga esok. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.