Majlis Presiden PN terbentuk dengan keanggotaan ketua-ketua 13 parti politik dalam mesyuarat PN yang dipengerusikan oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menubuhkan Majlis Presiden PN yang masing-masing dianggotai oleh ketua-ketua parti politik

Persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat antara ketua-ketua parti dalam kerajaan PN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi PN hari ini.

Sekretariat Setiausaha Agung Parti-Parti Dalam Kerajaan PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penubuhan Majlis Presiden PN dicapai sebulat suara oleh pemimpin dan wakil-wakil 13 buah parti yang menganggotainya setakat ini.

“Ketua-ketua parti yang menganggotai Majlis Presiden PN itu nanti akan berperanan sebagai platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Tambah Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu lagi, bagi menyelaraskan Majlis Presiden PN, satu sekretariat dianggotai oleh semua setiausaha agung parti-parti dalam PN juga telah ditubuhkan.

Katanya ia juga telah dipersetujui semua wakil-wakil parti PN dalam mesyuarat yang sama.

“Pada mesyuarat itu juga, parti-parti dalam kerajaan PN turut membincangkan tentang pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” ujarnya.

Ketua-ketua Parti yang hadir pada mesyuarat tersebut adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Presiden SUPP, Prof. Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dan Presiden PBB, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus
Johnity Ongkili (Presiden PBB).

Turut hadir mewakili ketua-ketua parti yang lain adalah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah (Timbalan Presiden PBB), Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum, Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul, Datuk Paul Igai (Naib Presiden PDP), Datuk Asojan Muniyandy (Setiausaha Agung MIC), dan Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi (Setiausaha Agung STAR).- MalaysiaGazette