Norhayati Che Kerema mengesat air mata ketika berkongsi kish hidupnya dengan wartawan MalaysiaGazette selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Asnaf anjuran syarikat0syarikat swasta dan Masjid As-Sobirin Lembah Keramat di Dewan Kecil Orang Ramai (DEKOR) Jalan AU5D, Lembah Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Menjadi satu-satunya harapan dan tulang belakang keluarga, wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini tidak pernah putus asa mahupun mempertikaikan nasib nasibnya.

Bagi Norhayati Kerema, menjaga tiga daripada lima anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan suami yang tidak mampu bekerja akibat kemalangan beberapa tahun yang lepas adalah ketentuan yang telah ditakdirkan Allah kepadanya.

Ketentuan itu dijadikannya sebagai tanggungjawab yang perlu digalas selagi beliau bernafas.

“Saya bersyukur sangat diberikan kekuatan dan kesihatan sehingga hari ini. Tidak pernah saya rasa putus asa, sebaliknya sentiasa bersyukur sebab Tuhan berikan kesihatan kepada saya walaupun sudah 15 tahun berniaga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk menampung perbelanjaan keluarganya, Norhayati secara kecil-kecilan menjual nasi kerabu dan laksam di Taman Permata 10 sepanjang 15 tahun ini.

Demi memastikan setiap ahli keluarganya dapat menjamah nasi, wanita cekal ini berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika berniaga termasuk barangan jualannya disita kerana tidak mempunyai lesen.

Norhayati mengadu, permohonannya untuk mendapatkan lesen tidak pernah diluluskan kerana pihak berkuasa tempatan mendakwa tempat dia ‘mencari makan’ bukan di lokasi strategik.

Malah, luahnya, beliau sedikit pun tidak pernah putus asa walaupun keringat yang mengalir sama banyak dengan air mata yang menitis.

Kecekalannya sebagai seorang ‘hero’ dalam keluarga mengatasi cabaran hidupnya.

Apa yang terbit dibibir beliau, bukanlah keluhan.

“Walau apa pun yang saya alami, saya tidak menyesal, Tuhan pilih saya untuk diuji di dunia ini.

”Saya amat bersyukur tatkala ekonomi semakin mencabar, namun rezeki untuk keluarga tidak pernah putus,” katanya sayu.

Ketiga-tiga anaknya yang OKU menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan dan gerainya mampu meraih pulangan yang baik.

Mungkin tidak besar jumlahnya di mata orang lain, apatah lagi  untuk menyara mereka tujuh beranak, namun tidak padanya.

Bagi Norhayati, rezeki Tuhan sangat luas, selagi beliau sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan.

Buktinya, kata Norhayati,  beliau menjadi salah satu daripada 60 asnaf yang dipilih di kawasan Lembah Keramat untuk menerima sumbangan.

“Rezeki Tuhan sentiasa ada sahaja tidak putus, macam hari ini, saya dapat bantuan juga rezeki. Mungkin berkat saya ada tiga anak OKU, jaga mereka.

”Alhamdulillah Tuhan tetap tolong. Walaupun dalam keadaan Covid-19 ini,” katanya.

Apa yang diharapkannya, tulang empat keratnya sentiasa kuat untuk memikul tanggungjawabnya di dunia ini sebagai penyelamat kepada suami dan lima anaknya. -MalaysiaGazette