Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Farhan Alias (dua dari kanan) membuat gimik perasmian Coconut Shake 336 sempena inisiatif baru kerajaan bagi tahun 2021 iaitu mewujudkan Program Francais Mampu Milik di Coconut Shake 336, Wisma Al Baghdadi, Bandar Baru Selayang, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 19 DISEMBER 2020.

SELAYANG – Kalau sebut mengenai membuka perniagaan francais, perkara pertama yang bermain di fikiran ialah modal pelaburan yang tinggi.

Namun persepsi tersebut akan berubah berikutan rancangan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan lebih ramai pemuda dan pemudi menceburi bidang francais dengan pengenalan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.

“Inisiatif ini diperkenalkan di bawah Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2021-2025 oleh kerajaan menerusi kementerian ini yang mana akan menyokong mana-mana pemuda yang mahu menceburi dalam bidang perniagaan Francais.

“Untuk menceburi Francais Mikro kita menetapkan wang kos pelaburan modal berjumlah bawah RM50,000 dan Francis Mampu Milik membabitkan modal RM100,000 dengan memilih produk berjenama yang sudah terkenal di pasaran untuk membuka perniagaan Francais,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian outlet pertama Francais Mampu Milik, Coconut Shake 336 bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 336 Brand Sdn.Bhd, Farhan Alias di Wisma AlBaghdadi, Bandar Baru Selayang hari ini.

Menurut Hasnol, dengan mengurangkan modal untuk membuka perniagaan francais akan akan mengurangkan kekangan seseorang untuk menceburi perniagaan itu.

Bagaimanapun, tambah beliau, apa yang penting mereka perlu memiliki sikap keusahawanan untuk berdepan risiko dan komitmen terhadap apa yang diusahakan.

Sementara itu, Hasnol berkata, anak muda boleh menjadikan Coconut Shake 336 sebagai model untuk menceburi bidang perniagaan francais dan kementerian sentiasa menyokong golongan itu untuk maju ke hadapan.

Beliau mendapati Coconut Shake mempunyai ciri-ciri untuk dikembangkan sebagai francais bertaraf global kerana produknya berkualiti, halal selain mempunyai pelanggannya tersendiri.

“Namanya pun berjenama dan kualitinya dijaga dengan penyelidikan dan pembangunan setiap masa dan ini memudahkan pemuda yang pertama kali mahu menceburi francais tanpa takut dengan modal rendah bawah RM100,000 boleh mengambil produk sudah terkenal dan berjenama seperti Coconut Shake.

“Lagipun daripada membuka cawangan perniagaan berpandukan modal sendiri, membuka francais dengan produk sudah dikenali dan mempunyai permintaa tinggi rakyat mengurangkan beban kewangan,” tambah beliau,

Menurut Hasnol, pihaknya sedang berbincang dengan Farhan bagaimana untuk menjadikan Coconut Shake sebagai produk Francais Mikro atau Francais Mampu Milik dengan menyasartkan golongan belia menjadi Coconut Shake sebagai platform untuk berniaga. – MalaysiaGazette