Deretan pesawat 737 Max yang digantung sejak Mac tahun lalu. foto Agensi

WASHINGTON – Penyiasat Senat Amerika Syarikat (AS) mendakwa ujian juruterbang telah “dikendalikan dengan salah” oleh Boeing semasa mahu pengesahan semula pesawat 737 Max.

Pesawat tersebut telah digantung sejak pada bulan Mac 2019 berikutan dua kemalangan maut.

Penyiasat menuduh Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) “cuba menutup maklumat penting”.

Boeing berkata, pihaknya akan mengkaji dapatan itu dan menganggapnya “serius”, sementara FAA mempertahankan tindakannya.

FAA pula mengatakan laporan Jawatankuasa Perdagangan Senat mengandungi “sejumlah tuduhan yang tidak berasas” kerana tinjauannya terhadap 737 Max telah dilakukan secara menyeluruh.

Malah, FAA yakin masalah keselamatan dengan pesawat berkenaan telah diatasi.

Kemalangan di Indonesia dan Ethiopia membabitkan model pesawat yang sama berlaku dalam tempoh lima bulan, membunuh 346 orang.

Nahas itu dikaitkan dengan masalah perisian teknikal yang disebut MCAS, yang mendorong pesawat menjunam beberapa saat sejurus selepas berlepas.

Ujian simulator dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha FAA untuk memastikan pesawat berkenaan selamat untuk terbang lagi.

Ujian ini dirancang untuk melihat seberapa cepat juruterbang dapat bertindak balas terhadap perisian yang rosak.

Dalam laporannya pada hari Jumaat, Senat mengatakan berdasarkan “maklumat dan keterangan pemberi maklumat yang disahkan semasa wawancara kakitangan FAA”, ia menyimpulkan FAA dan Boeing yang terlibat dalam ujian tersebut “telah menentukan keputusan yang telah ditentukan untuk mengesahkan faktor andaian manusia ada berkaitan dengan masa reaksi juruterbang “.

”Nampaknya, dalam hal ini, FAA dan Boeing berusaha menutupi maklumat penting yang mungkin telah menyumbang kepada tragedi 737 Max,” katanya.

Laporan itu memetik pemberi maklumatmendakwa Boeing mendorong juruterbang yang menjalani ujian untuk menggunakan kawalan tertentu sebelum latihan.

Ia berlaku selepas FAA memberi pengesahan kepada pesawat 737 Max milik Boeing pada bulan lalu untuk terbang semula.

Dikatakan pesawat yang ada perlu diubah sebelum kembali beroperasi, dengan perubahan pada reka bentuknya, sementara juruterbang perlu dilatih semula.

FAA memaklumkan perubahan reka bentuk diperlukannya telah “menghilangkan’ punca kemalangan tertentu”.

Awal bulan ini, Brazil menjadi syarikat penerbangan pertama yang bersetuju untuk meneruskan penerbangan komersial dengan Boeing 737 Max.

American Airlines juga menjangkakan penerbangan 737 Max pertama di Amerika Syarikat akan disambung semula pada 29 Disember. – MalaysiaGazette