Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan Akta 795 penting kepada Malaysia untuk memastikan negara mendapat faedah apabila sumber biologi yang dijumpai di negara ini dikaji dan dibangunkan kepada produk yang mempunyai nilai.

Ia sekali gus dapat membanteras biopiracy iaitu sumber biologi negara diambil dan dibangunkan tanpa izin sehingga negara tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya.

Malaysia merupakan 12 buah negara di dunia yang paling kaya dengan khazanah biodiversiti (mega-biodiversity) dan kekayaan ini berpotensi besar untuk pembangunan dan penciptaan produk baharu dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal seperti ubat-ubatan, makanan tambahan dan produk kosmetik.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan berkuatkuasanya Akta 795, Pihak Berkuasa Kompeten iaitu entiti di peringkat negeri memainkan peranan penting dalam pengurusan Access and Benefit Sharing (ABS, ia termasuk program kesedaran isu yang antaranya meliputi pengeluaran permit dan kutipan fi; penyelenggaraan rekod; dan pelaporan kepada Pihak Berkuasa Kompeten Kebangsaan secara berkala.

”Akta 795 boleh mendatangkan manfaat yang meliputi faedah kewangan dan bukan kewangan. Faedah kewangan termasuk royalti, fi bagi permit penyelidikan dan paten yang dihasilkan daripada pengkomersialan produk
yang diperoleh daripada sumber biologi.

”Manakala faedah bukan kewangan pula antaranya termasuk perkongsian hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D); latihan melalui pertukaran penyelidikan dan penyelidikan kolaboratif; pemilikan bersama hak harta intelek; pemindahan teknologi; dan
peningkatan infrastruktur penyelidikan; dan peluang pekerjaan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menguatkuasakan Akta 795 termasuk mengadakan program pembangunan kapasiti kepada Pihak Berkuasa Negeri.

Susulan penguatkuasaan Akta 795, penyelidik yang ingin mengakses sumber biologi di Malaysia perlu memohon permit kepada Pihak Berkuasa Negeri secara atas talian melalui www.myabs.gov.my.

KeTSA akan terus menggiatkan inisiatif bagi memperkasa pelaksanaan ABS di Malaysia, ujarnya.

Penguatkuasaan ABS perlu diuar-uarkan kepada semua pihak khususnya Kerajaan-kerajaan Negeri, institusi penyelidikan dan pengajian tinggi, masyarakat pribumi dan komuniti setempat serta industri bagi memastikan tata caranya difahami dan dipatuhi. – MalaysiaGazette