Profesor Dr Raha Abdul Rahim memperkatakan sesuatu kepada kumpulan penyelidik UTeM bagi menjayakan projek penyelidikan teknologi terbaharu Stretchable Conductive Ink (SCI) untuk memenuhi permintaan tinggi aplikasi industri elektronik bertaraf global.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai penyelidikan teknologi terbaharu Stretchable Conductive Ink (SCI) untuk memenuhi permintaan tinggi aplikasi industri elektronik bertaraf global.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, projek penyelidikan ini merupakan salah satu pencapaian berprestij UTeM apabila diberi kepercayaan bagi menjayakan projek industri berimpak bertaraf global.

Jelas beliau, penyelidikan ini dibiayai menerusi geran industri bernilai RM 1.2 juta yang dianugerahkan oleh Collaborative Research In Engineering, Science And Technology Center (CREST) kepada UTeM dengan rakan industri, Top Empire Sdn Bhd.

Katanya, UTeM bersyukur dianugerahkan geran industri dari CREST ini kerana ianya sukar diperolehi oleh mana-mana universiti dalam negara apatah pula menjayakan misi mendapatkan teknologi terbaharu bagi memberikan sinar dalam sektor industri
elektronik bertaraf dunia.

”Jika dirungkai perspektif cabaran maka tidak dinafikan ianya merupakan cabaran hebat bagi mendapatkan penemuan terbaru bahan termaju ini yang mana impaknya, sekali gus mewarnai sektor elektronik secara bersepadu.

”Lantaran itu SCI telah mendapat permintaan yang semakin meningkat kerana fleksibiliti dan kemampuan pengeluarannya yang tinggi sambil mengekalkan kekonduksian pada tahap tinggi,” katanya.

Misi penyelidikan berimpak dunia ini diketuai oleh ketua penyelidik Profesor Dr Ghazali Omar bersama Penyelaras Projek Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah serta ahli kumpulan penyelidik berpengalaman UTeM.

Terdahulu pihak UTeM telahpun mengikat kerjasama strategik bersama dengan pihak CREST dan Top Empire sebelum ini menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) pada bulan November lalu.

CREST merupakan badan konsortium yang mendapat suntikan dana daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI). – MalaysiaGazette