Zizan Razak

KUALA LUMPUR – Tindakan lensa kamera yang  turut menyorot wajah hos program tersebut iaitu Zizan Razak ketika pelakon Kamal Adli tiba-tiba melutut dan melamar kekasihnya Uqasha Senrose sewaktu siaran langsung Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020)  malam tadi mencuri perhatian penonton.

Malah reaksi wajah pengacara, pelawak dan pelakon itu terus mengundang perhatian warga alam maya dan tular di media sosial.

Kurang senang apabila kisah cintanya sering diungkit netizen, Zizan memuat naik kenyataan bagi menjelaskan apa yang berlaku.

“Melihat apa yang berlaku malam tadi menjadi bualan di media sosial; tentang jodoh saya selepas Kamal Adli melamar Uqasha Senrose.

“Maaf saya katakan apa yang berlaku malam tadi bukan plan (rancangan) saya.

“Saya tak tahu dan cuma memberi respons apa yang sporting supaya program tampak best,” tulisnya di Instagram miliknya.

Sebelum ini, Zizan dan Kamal sebelum ini dikaitkan antara satu sama lain kerana mereka pernah menjalin hubungan romantis dengan Emma Maembong.

Tambah Zizan, dalam memikirkan soal jodoh, dia sebenarnya bukan seperti yang difikirkan netizen.

“Dan bila sebut bab jodoh, saya tidaklah sebangsat itu dan seperti yang anda sangkakan.

“Segalanya saya serahkan pada Allah. Kerana jodoh, ajal, maut itu bukan urusan kita dan semestinya Dia,” katanya.

Pada siaran langsung itu, Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli melafazkan kata lamaran dengan menyerahkan sebentuk cincin kepada Uqasha.

Namun, Uqasha yang tampak terkejut dengan aksi gandingannya dalam drama Perempuan Tanpa Dosa itu tidak terus memberikan jawapan.

Dia sebaliknya bertanyakan sama ada apa dilakukan Kamal, 34, itu cuma sebagai mempromosi drama lakonannya.

Kamal kemudian mengulang soalannya sebelum Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 28, itu menjawab “yes” sambil disambut sorakan penonton. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast