Salah difahamkan masalah lebih besar bersama Liverpool dan berkemungkinan meninggalkan Anfield tak lama lagi.

LONDON – Mohamed Salah didakwa tidak gembira bersama pasukan Liverpool dan kelab itu dilaporkan merancang untuk menjual bintang Mesir itu.

Bekas rakan pasukan kebangsaan Salah, Mohamed Aboutrika mendedahkan berita itu.

Aboutrika mendakwa salah satu sebab utama Salah marah kerana dia tidak diberi tugas kapten ketika menentang Midtjylland dalam aksi akhir kumpulan saingan Liga Juara-Juara Eropah awal November lalu.

Jurgen Klopp memberikan gelang tangan kepada Trent Alexander Arnold menyebabkan pemain itu kecewa.

Dalam temubual terbaharu media Sepanyol, Salah tidak menolak kemungkinan berhijrah ke Barcelona dan Real Madrid mendakwa masa depannya kini di tangan the Kops.

Aboutrika mengakui dia pernah duduk mendengar masalah pemain itu di Anfield.

“Saya menghubungi Salah untuk mengetahui situasi semasa dia di Liverpool dan dia sebenarnya kecewa tetapi ia tidak menjejaskan prestasinya di atas padang.

“Saya tahu dia tidak gembira bersama Liverpool. Dia memberitahu saya kenapa kecewa sangat tetapi itu rahsia yang saya tak boleh kongsi kepada umum ketika ini.

“Tapi salah satu perkara yang menyebabkan dia marah adalah dia tidak jadi kapten mengetuai pasukan menentang Midtjylland,” katanya.

Katanya lagi, jika Salah adalah pemain Barcelona atau Real Madrid dan mempamerkan aksi sama seperti di Anfield, sudah lama dia menang Anugerah Ballon d’Or.

Aboutrika juga berpendapat Liverpool sedang merancang menjual Salah untuk tujuan ekonomi.

“Saya tidak mempengaruhi sebarang keputusan Salah, dia rakan akrab dan adik saya apatah dia cukup bijak menentukan apa yang terbaik untuk diri dan masa depannya,” tegasnya.

Salah ketika ditemuramah di Sepanyol mengakui dia kecewa dengan layanan yang diterima di Anfield.

“Secara ikhlas, saya sangat kecewa kerana harapkan jadi kapten pasukan tetapi itu keputusan jurulatih dan terpaksa akur dengannya,” keluh Salah.