Dr Hisham Sharif

Buat rakan-rakan kayuhan yang baru menceburi sukan ini, ada beberapa perkara yang kita perlu elakkan untuk tidak menimbulkan kontroversi.
1. Elakkan berkayuh pada waktu puncak di jalan yang memang dikenali agak sempit dan sibuk hingga menyebabkan kenderaan lain sukar memotong. Pilih waktu yang sesuai dan jalan yang mempunyai bahu jalan yang agak luas atau laluan kampung yang kurang kenderaan.
2. Jangan langgar lampu merah, terutamanya di simpang empat. Jika terlepas dari peloton, tak mengapa, kawan-kawan akan tunggu, jika tidak, kena ingatkan rakan-rakan yang berada di depan untuk peka dengan keadaan peloton belakang ketika di lampu isyarat. Tak berbaloi langgar lampu merah hanya kerana hendak kejar kelajuan purata yang tinggi.
3. Beri laluan jika ada kenderaan dari belakang, rapat ke kiri jalan dan telinga perlu sentiasa peka. Berhati-hati jika menggunakan ear buds takut tak dengar kenderaan dari belakang, telinga adalah mata kita di belakang.
4. Hormati pengguna jalan raya yang lain. Angkat tangan tanda terima kasih jika ada yang memberikan laluan. Beri juga laluan kepada kenderaan lain dan jangan berpeloton dalam keadaan yang berselerak, terutamanya di jalan yang sibuk. Kekal dalam satu barisan, atau bentuk kumpulan kecil.
5. Jangan tinggalkan sampah merata – rata, baik botol minuman, atau pembungkus gel. Simpan dalam kocek belakang dan buang di tempat yang sepatutnya.
6. Elakkan cucuk angin kenderaan berat walaupun ianya menyeronokkan. Cucuk angin lori agak bahaya, kerana boleh terkena percikan batu kecil atau hilang kawalan jika datang angin lintang.
7. Kurangkan berkayuh waktu malam. Jika hendak juga, pastikan pakai pakaian yang cerah, lampu basikal yang terang dan kelengkapan pemantul cahaya pada tempat yang sesuai. Malam bukan waktu yang sesuai untuk berkayuh. Sekali sekala, ok lah.
8. Jangan berkayuh atau bergambar di tempat yang memang tidak boleh berkayuh, di lebuh raya Plus contohnya, atau di kawasan yang memang ada larangan tertentu oleh pihak berkuasa.
9. Parkir di tempat yang sesuai dan tidak menganggu laluan awam jika ingin ke tempat tertentu. Gunakan common sense sebelum parking dan pastikan kenderaan kita tidak menganggu orang tempatan atau kenderaan awam.
10. Sentiasa peka di mana-mana, baik di jalan lurus, di simpang yang tidak ada lampu isyarat, atau di jalan – jalan kampung yang kecil. Kadang-kadang ada ayam melintas, lubang, makcik pakcik bermotor yang keluar mengejut. Pernah ada kawan saya yang jatuh dan cedera kerana mengelak kucing yang tiba-tiba melintas.
Buat mereka yang suka mengecam, bukan semua pengayuh ini buat masalah, hanya segelintir. Ramai rakan-rakan saya dari pelbagai lapisan yang gemar berkayuh, ada ahli surau, tok imam, askar, polis, guru, professor, security guard, doktor pakar dan mereka ini baik dan cukup berdisplin.
Berpada-padalah mengecam, apatah lagi bila menggunakan kata-kata kesat, bahkan ada yang melampau mengharap agar pengayuh ini kena langgar pula. Hitam sungguh perasaan. Mohon dijauhkan.
OLEH : Dr. Hisham Sharif, Pengayuh Tegar