PETALING JAYA – Dua sahabat yang menyamar sebagai ‘Ustaz Don@Halim’ dan ‘pegawai Imigresen’ yang menawarkan rawatan tradisional untuk menyamun mangsa ditahan polis.

Kejadian berlaku di Sungai Way, Petaling Jaya pada pada jam 11.30 pagi pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek pertama menyamar sebagai ‘ustaz’ ditahan di rumahnya di Flat San Peng, di sini manakala suspek kedua yang bekerja sebagai bouncer di sebuah kelab malam di Jalan Changkat, Bukit Bintang ibu negara ditangkap di tempat kerjanya pada jam 10.30 malam hari yang sama.

Katanya, pengadu yang merupakan seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa menerima rawatan tradisional daripada ‘ustaz’ yang datang ke rumahnya di Sungai Way sebelum didatangi seorang individu memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai Imigresen’.

Mereka memaksa wanita itu yang berusia 50 tahun itu menyerahkan telefon, bimbit anting-anting emas serta wang tunai RM1,500.

“Modus operandi kedua-dua sahabat berkenaan adalah Ustaz Don@Halim menawarkan khidmat rawatan dan mempunyai kemahiran menyembuhkan pelbagai penyakit secara tradisional kepada mangsa kebanyakan warga asing.

“Kemudian suspek berpakat dengan rakannya yang datang mengetuk pintu ketika mangsa diberikan rawatan tradisional dengan limau purut dan ketika itulah sahabatnya suspek kedua memakai pakaian pengawal keselamatan menyerupai uniform Imigresen sebelum memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai’ dan menyamun mangsa dan melarikan barang berharga berbentuk rantai emas dan telefon iPhone 6 mangsa,” katanya dalam pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Nil Ezanee, kedua-dua suspek yang berusia 49 dan 40 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Katanya, berikutan tangkapan itu polis merampas rantai emas yang dijual di pajak gadai di Batu Caves pada hargan RM5,000.

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, polis menahan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 49 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan ragut sejak beberapa bulan lalu dalam serbuan berasingan.

Katanya, hasil siasatan ke atas kesemua suspek mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, jenayah samun, ragut dan khianat.

Tambah beliau, kesemua mereka direman selama tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette