Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

SEPANG- Pembayaran zakat  melalui platform e-dagang, Shopee merupakan keputusan Majlis Agama Islam setiap negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tanpa mengulas lanjut beliau hanya berkata , keputusan itu dibuat menerusi Pejabat Mufti bagi peringkat negeri.

“Untuk masalah siapa yang boleh dilantik sebagai agen zakat, wakil dan seumpamanya  biasanya ikut pengalaman saya (telah) dapat kelulusan pihak berkuasa negeri iaitu Jabatan Mufti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Tausiyah bersama pendakwah selebriti di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertikaian sesetengah pihak baru-baru ini apabila Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumumkan bayaran zakat boleh dibuat menggunakan Shopee bermula Jumaat lalu.

Pelanggan Shopee melalui platform itu boleh membuat bayaran pelbagai jenis zakat, termasuk zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham dan zakat emas dan perak.

Selain itu zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh dibayar melalui dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan dalam talian dan pembayaran secara tunai di kaunter kedai 24 jam iaitu 7-Eleven.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak cukup ke Sistem Bayaran Zakat online yang ada sampai nak lantik Shopee sebagai amil ? Teringin nak tahulah siapa Shopee ni?

Comments are closed.