Seorang mekanik melakukan kerja-kerja tukar minyak hitam pada Program Tukar Minyak Hitam Percuma Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di hadapan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sumbangan mahupun bantuan yang disalurkan kepada warga Bandar Tun Razak bukan bersifat gimik politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 tapi ia merupakan tanggungjawab seorang Ahli Parlimen, kata Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri itu berkata, masyarakat ketika ini amat memerlukan apa sahaja bentuk bantuan lebih-lebih lagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Program tukar minyak hitam secara percuma hari ini memberi manfaat kepada 300 penunggang motosikal jadi sudah tentu ia bukan lah gimik jika libatkan sejumlah yang ramai sebegini.

“Kita turut pastikan segala pemberian makanan, barangan dapur atau apa sahaja jenis bantuan melibatkan masyarakat di kawasan ini sentiasa mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Tukar Minyak Hitam Secara Percuma di hadapan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Bandar Sri Permaisuri hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan Yang Dipertua Pas Kawasan Bandar Tun Razak, Shukor Md. Aziz.

Pada program tersebut seramai 300 penunggang yang terdiri daripada penghantar makanan dan barangan menukar minyak hitam motosikal mereka secara percuma selain menerima pek makan tengah hari.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, beliau turut kagum dengan kecekalan kumpulan penghantar barangan tersebut membanting tulang mencari sumber pendapatan walaupun ada dalam kalangan mereka yang sudah lanjut usia.

“Tadi saya sempat bertemu sebahagian daripada mereka (rider), ada yang berusia 79 tahun dan paling muda pula 26 tahun. Semangat mereka itu buat saya kagum.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima dan jika ada keperluan, mungkin kita akan anjurkan lagi program seumpama selepas ini sebagai membantu mengurangkan bebanan mereka semasa mendepani musim pandemik ini,” ujarnya.

Tambah Kamarudin, bantuan makanan asas seperti beras masih berjalan seperti biasa dan mereka yang memerlukannya boleh hadir ke Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Kamarudin merupakan bekas Ahli Parlimen Tumpat dan pernah menang empat kali berturut-turut pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, 2004, 2008 dan 2013. – MalaysiaGazette