Kento Momota. Foto NOOREEZA HASHIM, 04 APRIL 2019.

TOKYO – Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota memenangi Kejohanan Kebangsaan Jepun hari ini untuk melengkapkan penampilan pertama selepas hampir setahun mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya.

Beliau bangkit dari ketinggalan untuk mengalahkan pemain nombor 11 dunia, Kanta Tsuneyama 18-21, 21-12, 21-17 di Tokyo, membuktikan bahawa dia bersedia kembali dengan meraih kejayaan selepas tragedi ngeri yang hampir menggugat kariernya apabila mengalami keretakan di soket mata.

Kemenangan itu membolehkan Momota melakar hatrik menjulang trofi berkenaan dan dia sedia untuk kembali beraksi di peringkat antarabangsa di Terbuka Thailand bulan depan.

“Saya berusaha pada keras pada permainan pertama namun selepas itu mula hilang ketenangan ketika kembali mendahului.

“Saya rasa ia disebabkan saya masih lagi belum mendapat rentak untuk beraksi. Pada set kedua dan ketiga, saya mahu merasai permainan sebenar tanpa mengira teknik atau taktik, disebabkan itu saya mampu meraih kemenangan.

“Terbuka Thailand akan bermula tahun depan dan saya berpeluang menentang pemain dari negara lain. Saya mahu pergi ke sana dan menunjukkan apa yang boleh saya lakukan selaku pemain terbaik Jepun,” katanya.

Momota mengalami kecederaan pada Januari lalu apabila van yang membawanya ke lapangan terbang selepas meraih kejuaraan Masters Malaysia terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan pemandu kenderaan itu meninggal dunia.

Dia mengakui berasa gementar apabila kembali menyertai pertandingan minggu ini di Tokyo dan dia diberi tentangan sengit ketika berdepan Tsuneyama, sehingga teritkat 16-16 pada set penentuan sebelum meraih kejayaan.

“Saya terlalu berhati-hati. Sebelum itu saya perlu melakukan segala-galanya untuk mendapat rentak permainan dan keputusan yang diraih meningkatkan keyakinan saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette