Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail.

KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai kartel daging import sudah berlarutan selama 40 tahun itu sungguh ‘menyeramkan’ dan timbul persoalan mengapa ia dibiarkan berlarutan.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bandar Tun Razak, Mohd. Shahni Ismail (Bantura) melahirkan rasa gusar kerana isu itu perlu ditangani segera tanpa ada sebarang dolak-dalik lagi.

“Halal adalah hak Muslim, mengapa syarikat bukan milik penuh Melayu Islam diberikan lesen? Bukankah pada hari ini semuanya seperti sudah melarat?

“Isu ini juga telah mempengaruhi kredibiliti logo halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

“Kita harap selepas ini semua pihak berwajib akan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan isu kartel daging dengan label halal palsu seperti yang berlaku tidak berulang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mohd. Shahni, tindakan perlu dilaksanakan dengan lebih teliti untuk mengelak berlaku penyalahgunaan kuasa mahu pun rasuah memandangkan hal itu melibatkan integriti dan ketelusan pihak berkuasa.

“JAKIM terutamanya perlu memperkukuhkan lagi penguatkuasaan serta prosedur operasi standard (SOP) dalam memberi kelulusan sijil halal membabitkan barangan import termasuk daging,” katanya lagi.

Kata Mohd Shahni, daripada terus menuding jari lebih baik kerajaan melaksanakan sesuatu yang paling tegas tanpa sebarang kompromi supaya ia tidak lagi berulang.

Ia bukan sahaja isu ini menimbulkan kebimbangan serta kekecewaan sebaliknya kemarahan masyarakat Muslim di negara ini dalam mendapat bekalan makanan yang halal, bersih serta mengikut hukum syarak.

“Ini bukanlah sesuatu yang kita boleh pandang mudah, kita hendak perkara ini disiasat, penipuan logo halal ini sendiri adalah perbuatan serius dan menjijikkan. Demi keuntungan, ada pihak sanggup berbuat apa sahaja walaupun ianya salah dan haram.

“Kewujudan kartel membawa masuk sejumlah kontena daging sejuk beku yang banyak juga kemungkinan ada kaitan dengan ketirisan penguatkuasaan agensi tertentu,” ujarnya.

Justeru beliau berharap ada siasatan bersepadu hingga akar umbi untuk mengesan punca ketirisan dan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua pihak terbabit.- MalaysiaGazette