Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kebenaran kemasukan daging import diberikan kepada produk yang mempunyai sijil dan label logo halal daripada badan Islam luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM).

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Saiful Yazan Alwi, pihaknya  memeriksa setiap kontena sejuk beku yang mengandungi daging import bagi memastikan ia tidak mengandungi keratan daging dari loji atau abatoir yang tidak diluluskan oleh kerajaan.

Jelasnya, setiap konsainan produk daging import yang masuk melalui proses tapisan pemeriksaan yang ketat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Merujuk kepada isu kartel daging yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini, MAQIS ingin memaklumkan setiap konsainan produk daging yang diimport perlu melalui tapisan pemeriksaan ketat berdasarkan SOP yang telah ditetapkan.

“Pemeriksaan konsainan akan dilakukan berdasarkan kepada syarat import yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia. Semua kontena sejuk beku perlu diperiksa oleh MAQIS bagi memastikan ianya tidak mengandungi keratan daging dari loji atau abatoir yang tidak diluluskan oleh kerajaan Malaysia,”  katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saiful Yazan berkata, hanya loji pemprosesan atau abattoir yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim sahaja boleh dipertimbangkan untuk ke peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Selepas MAFI memberi kelulusan pengimportan kepada loji pemprosesan atau abattoir dari negara yang tertentu, hanya senarai loji atau abattoir yang diluluskan sahaja boleh dipohon untuk pengeluaran permit import menerusi portal DagangNet,” katanya lagi.

DVS bertanggungjawab untuk melaksanakan pemeriksaan di loji pemprosesan atau abattoir di negara asal bagi aspek keselamatan makanan serta SPS (sanitari dan fitosanitari) sebelum suatu produk keratan daging dibenarkan diimport masuk ke negara ini.

Manakala JAKIM perlu menentukan haiwan tersebut disembelih mengikut syariat dan standard halal Malaysia.

Sebelum sesuatu produk keratan daging dibenarkan untuk diimport masuk ke dalam negara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan di loji pemprosesan atau abattoir di negara asal bagi aspek keselamatan makanan serta SPS (sanitari dan fitosanitari).

Selain itu katanya, pihak MAQIS turut melaksanakan persampelan di kesemua pintu masuk bagi memastikan keratan daging yang hendak dibawa masuk adalah yang dibenarkan untuk import (daging lembu, kerbau, kambing, bebiri dan ayam) serta bebas dari sebarang penyakit haiwan dan penyakit zoonotik yang boleh mengancam nyawa manusia berdasarkan arahan persampelan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

MAQIS tambahnya hanya berada di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala agensi yang mengawal selia pegimportan daging di Sabah dan Sarawak ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri berkenaan.-MalaysiaGazette