Pasukan penyiasat berada di kawasan letupan di 2nd Avenue di Nashville. foto Reuters

NASHVILLE – Seorang suspek berusia 63 tahun yang terlibat pengeboman Nashville pada pagi Hari Krismas terbunuh dalam letupan yang memusnahkan rumah motornya dan merosakkan lebih daripada 40 perniagaan.

Pakar forensik Biro Penyiasat Persekutuan (FBI) memadankan sampel DNA yang diperoleh dari tempat kejadian dengan Anthony Warner, yang kediamannya di Antioch digeledah pada hari Sabtu oleh ejen-ejen persekutuan.

“Kami menyimpulkan seorang individu bernama Anthony Warner adalah pengebom dan dia berada ketika bom itu meletup dan dia mati dalam kejadian itu,” kata Donald Cochran, seorang peguam dari Tennessee dalam sidang media.

Masih terlalu awal untuk membincangkan motif perbuatan suspek.

Rumah motor Warner, yang diparkir di jalan pusat bandar terbesar di Tennessee, meletup pada awal pagi Jumaat ketika polis yang bertindak balas terhadap laporan tembakan dan terdengar bunyi muzik dan mesej dari kenderaan yang memberi amaran bom.

Letupan di tengah-tengah ibu kota muzik negara Amerika Syarikat (AS) itu mencederakan tiga orang dan merosakkan perniagaan termasuk pusat pemindahan AT&T, menjejaskan  perkhidmatan mudah alih, Internet dan TV di seluruh Tennessee tengah dan beberapa bahagian dari empat negeri lain.

Susulan kejadian itu, para penyiasat menggeledah rumah Warner pada hari Sabtu dan mengunjungi agensi harta tanah Nashville tempat dia bekerja di sebuah syarikat komputer.

Pemilik Fridrich & Clark Realty, Steve Fridrich, memberitahu surat khabar Tennessean bahawa selama empat atau lima tahun, Warner telah datang ke pejabat kira-kira sebulan sekali untuk memberikan perkhidmatan perundingan komputer.

Namun, sehingga bulan ini Warner memberitahu syarikat tersebut menerusi emel bahawa dia tidak lagi bekerja untuk mereka.

Malah, Warner tidak memberi sebarang alasan, menurut Fridrich.

Datuk Bandar Nashville, John Cooper menerusi program New’s Face the Nation berkata, beliau percaya ada kaitan pengeboman itu dengan bangunan AT&T.

Kerosakan yang berlaku di pusat litar elektrik begitu besar sehingga pasukan AT&T terpaksa menggerudi lubang akses runtuhan untuk menghubungkan generator ke peralatan kritikal, serta mengepam tiga kaki air dari ruang bawah tanah.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada hari Ahad memaklumkan kerja-kerja memulihkan bekalan elektrik pada empat tingkat bangunan tersebut dijalankan semalaman. – MalaysiaGazette