Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir ke majlis peluncuran dan wacana buku 100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008 - 2011 karya Datuk Che Shamsudin Othman @ Dinsman di Institut Darul Ehsan, Seksyen 15, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 29 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Jenayah kartel daging haram yang berleluasa sejak 40 tahun lalu tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam dan tindakan tegas perlu diambil terhadap dalang dengan hukuman yang setimpal.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan pendedahan jenayah itu sebagai satu kecelakaan kepada umat Islam di negara ini.

“Saya tak fikir wajar untuk umat Islam dan rakyat Malaysia memaafkan kecelakaan ini, kesialan yang berlaku.

“Harus ada tekad politik untuk segera memberi jawapan dan menghukum orang yang secara paling klasik ini memperalatkan agama, di samping meracuni rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran dan Wacana Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011 karya Datuk Che Shamsudin Othman@Dinsman di Institut Darul Ehsan (IDE), hari ini.

Sinar Harian pada awal bulan ini mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Perkara itu dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR membidas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam yang mengatakan isu kartel daging di luar bidang kuasa agensi kerajaan itu.

“Saya nak tegaskan, ini sebagai contoh paling hina dan keji bagaimana darah daging umat (Islam) itu diceroboh.

“Dijanjikan halal, bukan soal Kementerian Pertanian sahaja, kerana yang bagi cop halal itu Jakim, jadi harus sama-sama bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette