Bangkai pesawat Ukraine International Airlines yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Tehran. foto Agensi

TEHRAN – Kabinet Iran memperuntukkan AS$150,000 bagi 176 keluarga mangsa pesawat Ukraine yang ditembak jatuh di ruang udara Iran pada bulan Januari lalu.

Menyifatkan pengendalian oleh Iran itu “tidak dapat diterima”, Ukraine berkata, jumlah pampasan harus dirundingkan dan meminta mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

IRNA menyatakan Kabinet bersetuju membayar agihan sebanyak AS$ 150,000 atau yang setara dalam euro secepat mungkin kepada keluarga dan mangsa nahas pesawat Ukraine.

Pengawal Revolusi Iran mengakui mereka secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat Ukraine Airlines sejurus selepas pesawat berkenaan berlepas.

Kejadian itu berlaku ketika hubungan dengan Amerika Syarikat tegang ekoran kematian Jeneral Pengawal Revolusi Iran, Qasem Soleimani di Baghdad.

Kementerian Luar Ukraine berkata, pampasan itu harus dibuat melalui rundingan, dengan mengambil kira amalan antarabangsa, setelah menentukan sebab-sebab tragedi tersebut dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Pihak Ukraine mengharapkan draf laporan teknikal mengenai keadaan pesawat jatuh.

“Situasi ini sangat tidak dapat diterima kerana kita bercakap mengenai nasib orang yang tidak bersalah,” kata jurucakap kementerian, Oleh Nikolenko, sambil menambahkan Iran masih belum melaksanakan perjanjian sebelumnya, tanpa memberikan perincian.

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kanada, François-Philippe Champagne dalam kenyataan berkata menambahkan dalam pernyataan melalui e-mel bahawa “rundingan penambahbaikan” adalah jalan terbaik yang tersedia “untuk memastikan Iran bertanggungjawab atas tindakannya.”

Kanada telah memainkan peranan kerana rakyatnya antara penumpang pesawat malang tersebut.

Menteri pengangkutan Iran Mohammad Eslami memberitahu televisyen kerajaan bahawa laporan akhir mengenai kemalangan itu telah dihantar kepada negara-negara yang terlibat dalam siasatan tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh memaklumkan Iran akan mendedahkan “mereka yang cuai menyebabkan kemalangan”, lapor agensi berita Fars.

Pegawai Iran mengatakan kes itu dikendalikan oleh mahkamah tentera.

Dalam laporan awal pada bulan Julai, Organisasi Penerbangan Awam Iran menyalahkan sistem radar yang tidak sejajar dan kurangnya komunikasi antara pengendali pertahanan udara dan komandannya punca pesawat Ukraine dibedil.

Di bawah peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Iran mengekalkan kawalan keseluruhan penyiasatan udara sementara Amerika Syarikat dan Ukraine diakreditasi sebagai negara di mana pesawat dibangun dan dikendalikan.

Jurucakap Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB) mengesahkan melalui emel telah menerima draf laporan dari Iran. – MalaysiaGazette